Chat Yuk!!

Sunday, September 7, 2008

The Lima benci gelaran 'OKB'

Oleh Hardi Effendi Yaacob

The Lima

MASIH terbayang aksi tiga anggota kumpulan ini - Bony Adam, Taura Rahady dan Arif Topan Sanjaya - ketika diumumkan menjuarai program pencarian bakat baru popular terbitan TV3, Gangstarz (Musim Pertama) tahun lalu.

Ketiga-tiganya berpelukan sambil menangis, selain melakukan sujud syukur di atas pentas bagi meraikan kemenangan itu, yang turut menyaksikan mereka mengaut pelbagai hadiah mewah termasuk wang tunai AS$100,000 (RM380,000) ketika itu.

Dengan kemenangan besar itu, The Lima kemudian dilabelkan sebagai `Orang Kaya Baru' atau 'OKB', lebih-lebih lagi mereka berasal dari latar belakang keluarga yang sederhana dan belum pernah mengecapi kehidupan mewah seperti itu.

Bagaimanapun, Bony dalam temubual bersama B*Pop baru-baru ini mengakui kurang senang dengan gelaran itu kerana boleh memberi persepsi berbeza di kalangan orang ramai, terutama peminat terhadap diri mereka.

"Ini (wang) kalau ditukarkan ke mata wang rupiah (Indonesia) lumayan juga.

Alhamdulillah, kami bersyukur dengan pencapaian itu namun ia tidak sedikit pun membuatkan kami riak atau bangga diri. Yang pasti, ia tidak sedikit pun mengubah cara hidup kami... The Lima masih seperti dulu.

"Kami tetap manusia biasa yang sentiasa bersyukur dengan setiap pemberian-Nya. Sebab itulah, kami tidak suka digelar sebagai 'OKB'. Kami bisa makan di warung tepi jalan, selain menggunakan pengangkutan awam, terutama LRT di Kuala Lumpur. Ia lebih mudah dan menjimatkan masa," katanya.

Beliau berkata, ada ketikanya terasa lucu apabila peminat yang terkejut melihat mereka menggunakan pengangkutan awam itu untuk membeli-belah atau bersiar-siar di sekitar ibu negara.

"Soal lazim dari peminat - Tidak malu ke guna LRT? Bagi kami, apa yang mahu dimalukan. Tidak semestinya kalau sudah menjadi terkenal tidak boleh menggunakan pengangkutan awam. Lagipun, kami memang teruja sangat dengan LRT sebab di Indonesia tiada kemudahan sebegini," katanya.

Mengenali The Lima yang kini popular dengan lagu hit seperti Buronan Cinta, Separuh Masa dan Kau Ada Dia, mereka bukan sekadar penyanyi berbakat, malah penghibur versatile yang mampu menampilkan persem bahan menghiburkan.

"Itulah keistimewaan The Lima... kami bukan sekadar artis rakaman tetapi kumpulan penghibur. Rasa bangga sangat kalau setiap persembahan yang kami buat dapat menghiburkan khalayak. Ini yang susah... menjadi artis rakaman memang mudah, tetapi bukan semua boleh menjadi penghibur yang baik.

"Justeru, The Lima sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri untuk terus kekal diminati bukan hanya pada personaliti kami bertiga, sebaliknya melalui persembahan dibuat. Memang hala tuju kami dalam bidang seni untuk menjadi kumpulan penghibur terbaik," katanya.

Selain Bony, The Lima yang mula mencipta nama selepas menjuarai program realiti popular terbitan TV3, Gangstarz, seterusnya menjadi artis rakaman KRU Studios turut dianggotai oleh Taura Rahady dan Arif Sanjaya Topan yang berasal dari Bandung, Indonesia.

Sempena Ramadan, ketiga-tiga anggota kumpulan ini turut mengambil kesempatan berehat panjang, malah sudah pun berangkat pulang ke kampung halaman masing-masing sejak 31 Ogos lalu dan hanya akan kembali ke ibu negara akhir bulan depan.

Taura berkata, sejak bergelar artis rakaman, jadual harian mereka terlalu padat, dengan setiap hari dipenuhi undangan mengadakan persembahan, selain sesi temu bual dan fotografi bersama media hinggakan tidak punya cukup masa untuk bercuti.

"Sebelum ini, memang kami jarang pulang ke kampung sebab terlalu sibuk.

Kebetulan pula, sepanjang bulan puasa memang aktiviti seni berkurangan. Justeru, kami mengambil kesempatan untuk balik kampung dan menjalani ibadat puasa, seterusnya menyambut lebaran bersama keluarga.

"Bagaimanapun, dalam percutian ini juga, kami tetap berlatih vokal untuk persiapan merakamkan album terbaru tidak lama lagi, selain membantu urusan berkaitan pengedaran album sulung kami untuk pasaran Indonesia," katanya.

Ditanya mengenai persiapan menjelang Syawal, beliau berkata, mereka bertiga mengamalkan konsep perbelanjaan berhemat, dengan membeli apa yang dirasakan perlu, terutama dari segi hiasan rumah dan juadah untuk tetamu yang bertandang ke rumah.

"Tumpuan kami lebih kepada persiapan untuk ibu bapa dan adik beradik. Inilah cara kami untuk berkongsi kejayaan dengan mereka.

Kami turut menganggap inilah cara terbaik untuk menghargai keluarga yang memberikan banyak dorongan sehingga kami mampu sampai ke tahap ini," katanya.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri di Indonesia, Arif pula menyatakan suasananya tidak banyak berbeza di antara negara kelahiran mereka dan Malaysia.

"Dari segi tradisi memang sama. Selepas solat raya, kami akan menziarahi kubur sebelum berkunjung ke rumah sanak saudara. Malah, di Indonesia juga ada majlis rumah terbuka seperti di Malaysia. Pada dasarnya, suasana sambutan Aidilfitri di kedua-dua negara memang sama," katanya.

No comments: